Tuesday 24 September 2013

Takziah kepada keluarga Muhammad Faris bin Muhayuddin

Di hujung seminar yang saya ikuti petang Selasa kelmarin, saya telah dihubungi oleh sahabat saya Encik Roslan bin Ibrahim yang memaklumkan bahawa Nurul Isnaini binti Muhayuddin iaitu adik kepada salah seorang murid kami iaitu Muhammad Faris bin Muhayuddin telah meninggal dunia bersama rakannya iaitu Nur Farah Adila binti Azmi dalam satu kemalangan.jalan raya.

Kehilangan kedua-dua pelajar 4F itu turut dirasai oleh warga sekolah yang telah mengadakan bacaan Yassin dan tahlil pada pagi ini (Rabu, 25 September 2013). Pihak kami ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar berkenaan. Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Gambar: Sekitar majlis bacaan Yassin.

Gambar: Sekitar majlis bacaan Yassin.

 Berikut merupakan artikel yang dipetik daripada Utusan Malaysia Online pada pagi ini.

Dua sahabat maut sebelum sempat hadiri majlis sambutan hari jadi

Beberapa anggota polis memeriksa mayat Nurul Isnaini Muhayuddin dan Nur Farah Adila Azmi yang terlibat dalam kemalangan di Taman Tasik Jaya, Seremban, semalam.

SEREMBAN 24 Sept. - Hasrat dua rakan sekolah untuk menghadiri majlis hari jadi rakan tidak kesampaian selepas kedua-duanya terbunuh setelah motosikal tunggangi mereka merempuh sebatang pokok di Taman Tasik Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Nurul Isnaini Muhayuddin dan Nurfarah Adila Md. Azmi, yang masing-masing berusia 16 tahun, menaiki motosikal jenis Yamaha Nouvo dari arah Taman Tasik Jaya menuju ke Kampung Sentosa.
Jurucakap polis berkata, ketika menuruni bukit di situ, Nurul Isnaini yang menunggang motosikal berkenaan gagal mengawal kenderaan tersebut menyebabkan mereka terbabas ke bahu jalan.
"Mangsa kemudian merempuh sebatang pokok sebelum motosikal berkenaan tercampak di dalam longkang berhampiran.
"Kedua-dua mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Za'aba dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan," katanya di sini hari ini.
Rakan mangsa, Puteri Lily Ayumi Aminudin, 16, berkata, ketika kejadian dia yang menunggang sebuah lagi motosikal bersama seorang lagi rakannya berada di belakang motosikal mangsa.
"Kami dalam perjalanan dari Taman Tasik Jaya untuk menghadiri majlis hari jadi ke-16 rakan kami yang dikenali sebagai Ellyzah di Pangsapuri Seroja, iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
"Ketika waktu sekolah lagi kami sudah merancang untuk ke majlis berkenaan dan Nurul Isnaini serta Nur Farah juga teruja untuk menyambut majlis itu bersama-sama.
"Tapi saya tidak sangka dua rakan karib saya ini terlibat dalam kemalangan. Apa yang paling menyedihkan ialah saya melihat sendiri dua sahabat saya ini meninggal dunia," katanya sedih.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment