Tuesday 24 September 2013

Takziah kepada keluarga Muhammad Faris bin Muhayuddin

Di hujung seminar yang saya ikuti petang Selasa kelmarin, saya telah dihubungi oleh sahabat saya Encik Roslan bin Ibrahim yang memaklumkan bahawa Nurul Isnaini binti Muhayuddin iaitu adik kepada salah seorang murid kami iaitu Muhammad Faris bin Muhayuddin telah meninggal dunia bersama rakannya iaitu Nur Farah Adila binti Azmi dalam satu kemalangan.jalan raya.

Kehilangan kedua-dua pelajar 4F itu turut dirasai oleh warga sekolah yang telah mengadakan bacaan Yassin dan tahlil pada pagi ini (Rabu, 25 September 2013). Pihak kami ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar berkenaan. Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Gambar: Sekitar majlis bacaan Yassin.

Gambar: Sekitar majlis bacaan Yassin.

 Berikut merupakan artikel yang dipetik daripada Utusan Malaysia Online pada pagi ini.

Dua sahabat maut sebelum sempat hadiri majlis sambutan hari jadi

Beberapa anggota polis memeriksa mayat Nurul Isnaini Muhayuddin dan Nur Farah Adila Azmi yang terlibat dalam kemalangan di Taman Tasik Jaya, Seremban, semalam.

SEREMBAN 24 Sept. - Hasrat dua rakan sekolah untuk menghadiri majlis hari jadi rakan tidak kesampaian selepas kedua-duanya terbunuh setelah motosikal tunggangi mereka merempuh sebatang pokok di Taman Tasik Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Nurul Isnaini Muhayuddin dan Nurfarah Adila Md. Azmi, yang masing-masing berusia 16 tahun, menaiki motosikal jenis Yamaha Nouvo dari arah Taman Tasik Jaya menuju ke Kampung Sentosa.
Jurucakap polis berkata, ketika menuruni bukit di situ, Nurul Isnaini yang menunggang motosikal berkenaan gagal mengawal kenderaan tersebut menyebabkan mereka terbabas ke bahu jalan.
"Mangsa kemudian merempuh sebatang pokok sebelum motosikal berkenaan tercampak di dalam longkang berhampiran.
"Kedua-dua mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Za'aba dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan," katanya di sini hari ini.
Rakan mangsa, Puteri Lily Ayumi Aminudin, 16, berkata, ketika kejadian dia yang menunggang sebuah lagi motosikal bersama seorang lagi rakannya berada di belakang motosikal mangsa.
"Kami dalam perjalanan dari Taman Tasik Jaya untuk menghadiri majlis hari jadi ke-16 rakan kami yang dikenali sebagai Ellyzah di Pangsapuri Seroja, iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
"Ketika waktu sekolah lagi kami sudah merancang untuk ke majlis berkenaan dan Nurul Isnaini serta Nur Farah juga teruja untuk menyambut majlis itu bersama-sama.
"Tapi saya tidak sangka dua rakan karib saya ini terlibat dalam kemalangan. Apa yang paling menyedihkan ialah saya melihat sendiri dua sahabat saya ini meninggal dunia," katanya sedih.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Seminar Integriti Warga Pendidik (SIWP)

Tarikh: 24 September 2013 (Selasa)
Masa: 1.30 petang (pendaftaran), 2.30 petang hingga 5.30 petang (ceramah)
Tempat: Dewan Theatrette Wisma Negeri, Negeri Sembilan

Seminar yang telah diadakan pada petang ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (melalui PPD Seremban) dan Institut Integriti Malaysia. Pada petang ini ceramah telah disampaikan oleh Encik Zainal bin Sahid, mantan Pegawai Pendidikan Daerah Sepang. Beliau yang telah bersara pada tahun 2003 telah menyampaikan pelbagai isu berkaitan integriti di kalangan warga pendidik. Di samping itu, beliau turut berkongsi klip-klip video muzik filem hindi pengalaman beliau sebagai warga pendidik. Beliau turut menunjukkan satu keratan akhbar berkaitan pembuangan bayi di surau kariah beliau yang mana beliaulah orang pertama yang menjumpai bayi tersebut pada tahun 2011.
Seminar pada petang ini telah diakhiri dengan nyanyian lagu Warisan secara beramai-ramai. Moga-moga seminar sebegini akan diteruskan demi meningkatkan kesedaran pentingnya budaya integriti di kalangan warga pendidik.

Gambar: Bukti kehadiran guru-guru PPKI SMKPZ, dari kiri Puan Sa'adiah, Puan Siti Maizura dan Puan Siti Khairanah.

Gambar: Pemandangan dari tempat saya duduk. Sambil bermain Candy Crush membuat catatan, saya turut bertukar-tukar fikiran dengan sahabat yang duduk di sebelah saya berkaitan isu-isu integriti.

Rakaman Hari Kedua Minggu Sains dan Matematik PPKI SMK Pendeta Za'ba

Tarikh: 24 September 2013 (Selasa)
Masa: 10.00 pagi hingga 1.20 petang
Tempat: Blok PPKI SMK Pendeta Za'ba

Gambar: Murid-murid mengambil tempat.
 
Gambar: Kumpulan murid perempuan. Dari kiri Hiyah, Fatin dan Maya.

Gambar: Puan Nor Wahidah sedang memberi taklimat Permainan Betul Atau Bohong. Kumpulan murid lelaki diwakili (dari kiri) Nazirul, Amirul dan Fithri.

Gambar: Kuiz sedang berlangsung.

Sunday 22 September 2013

Rakaman Hari Pertama Minggu Sains dan Matematik PPKI SMK Pendeta Za'ba

Tarikh: 23 September 2013 (Isnin)
Masa: 10.00 pagi hingga 1.20 petang
Tempat: Blok PPKI SMK Pendeta Za'ba

Gambar: Puan Nor Wahidah sedang menerangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksana sepanjang minggu kepada murid-murid.
 
Gambar: Murid-murid mendengar dengan tekun.

Gambar: Zahid sedang cuba masak air di dalam belon.

Gambar: Puan Siti Maizura sedang menerangkan pertandingan percambahan biji benih pokok ganja kacang hijau.

Gambar: Azlina menghias 'pasu' kacang hijau.

Gambar: Faizal turut menghias 'pasu' kacang hijau.

Gambar: Kacang hijau telah ditabur.

LDP VLE Frog dan Perancangan Strategik

Tarikh: 21 September 2013 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari
Tempat: Dewan Seri Pendeta, SMK Pendeta Za'ba

Pada hari ini telah diadakan LDP pendedahan kepada VLE Frog dan Perancangan Strategik sekolah. Sesi pendedahan kepada VLE Frog telah dikendalikan oleh Cik Nor Suakma binti Jaafar manakala sesi perancangan strategik telah dikendalikan Tuan Pengetua, Tuan Haji Rosdin bin Kasim. Semasa sesi perancangan strategik, guru-guru PPKI telah dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan perancangan strategik PPKI untuk tahun 2014 hingga 2016. Pembentangan akan diadakan pada Sabtu akan datang (28 September 2013).


Angkat Gelek



 Angkat tangan kanan gelek,gelek,gelek
 Jatuh tangan kanan duduk diam-diam

Angkat tangan kiri gelek,gelek,gelek
 Jatuh tangan kiri duduk diam-diam

Angkat bahu kanan gelek,gelek,gelek
 Jatuh bahu kanan duduk diam-diam

Angkat bahu kiri gelek,gelek,gelek
 Jatuh bahu kiri duduk diam-diam

Angkat punggung kanan gelek,gelek,gelek
 Jatuh punggung kanan duduk diam-diam

Angkat punggung kiri gelek,gelek,gelek
 Jatuh punggung kiri duduk diam-diam

Angkat kaki kanan gelek,gelek,gelek
 Jatuh kaki kanan duduk diam-diam

Angkat kaki kiri gelek,gelek,gelek
 Jatuh kaki kiri duduk diam-diam






Faris menyertai kontinjen nasyid Negeri Sembilan

Tahniah diucapkan kepada Muhammad Faris bin Muhayuddin yang terpilih menyertai kontinjen nasyid Negeri Sembilan ke Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Kebangsaan di Kelantan yang bermula pada hari ini (Isnin, 23.9.2013) sehingga hari Khamis nanti. Kontinjen nasyid yang beliau sertai akan bertanding dalam kategori bermasalah pembelajaran terbuka.
Tempoh hari semasa Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas peringkat Negeri Sembilan di SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, beliau yang mewakili daerah Seremban telah menjadi johan azan subuh kategori bermasalah pembelajaran menengah dan nasyid kategori bermasalah pembelajaran menengah. Walaubagaimanapun, tiada pertandingan azan kategori bermasalah pembelajaran di peringkat kebangsaan pada MTAQ pada kali ini.
Semoga Faris akan terus mengharumkan nama PPKI SMK Pendeta Za'ba.

Gambar: Penyampaian hadiah oleh Tuan Pengetua.