Thursday 8 November 2012

Terima Kasih Cikgu Roslan!

Setelah berkhidmat hampir 4 tahun di PPKI SMK Pendeta Za'ba, kami terpaksa mengucapkan selamat berkhidmat di sekolah yang baru kepada Cikgu Roslan bin Ibrahim. Tahniah kepada beliau yang dinaikkan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di SMK Seremban 2.
Perpindahan beliau merupakan satu kehilangan besar kepada kami dan juga kepada pihak sekolah. Beliau bukan sahaja banyak berjasa kepada PPKI SMK Pendeta Za'ba malahan juga kepada sekolah. Antara jasa terbesar beliau kepada sekolah untuk tahun ini ialah menjadi Setiausaha Kejohanan Tenis Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Sembilan 2012 semasa SMK Pendeta Za'ba menjadi ajk untuk jawatankuasa pertandingan berkenaan. Haaa, jangan ingat cikgu pendidikan khas hanya bertugas untuk pendidikan khas saja, program normal pun kami sedia membantu.
Nampaknya, walaupun ada kalangan pelajar-pelajar kami yang masih belum habis lagi menangis kesedihan berpisah dengan guru-guru praktikal, kini air mata sebilangan pelajar-pelajar kami akan terus mengalir menangisi pemergian Cikgu Roslan ke sekolah baru. Mungkin ada pelajar yang akan berguling-guling menangis di hadapan penjaga mereka supaya ditukarkan juga ke SMK Seremban 2. Mungkin ya atau mungkin tidak. Kita tunggu dan lihat.
Gambar: Pesan GPK PPKI SMK Pendeta Za'ba iaitu Puan Hasmah (kiri) kepada Cikgu Roslan, "Tahun depan time kami nak buat rombongan ke Pulau Langkawi tolong-tolonglah kami aturkan penginapan, pengangkutan dan tempat shopping yang murah-murah ya."

Sunday 4 November 2012

Selamat Bersara Puan Pengetua

Tarikh: 1 November 2012
Masa: 7.40 pagi hingga 10.00 pagi untuk majlis di sekolah dan 3.00 petang hingga 5.00 petang untuk majlis di Hotel Alson Kelana
Tempat: Dewan Seri Pendeta SMK Pendeta Za'ba dan Ballroom A Hotel Alson Kelana Seremban

Warga PPKI SMK Pendeta Za'ba bakal kehilangan seorang pengetua yang banyak menyumbangkan jasa kepada kami. Puan Hajah Norlia binti Abdul Karim yang mengambil keputusan untuk bersara lebih awal pada tahun ini telah diraikan bersama Puan Hajah Badariah binti Tahir yang turut mengambil keputusan yang sama dalam dua majlis berasingan iaitu pada paginya di sekolah dan pada petangnya di Hotel Alson Kelana Seremban.
Dalam majlis yang diadakan pada sebelah pagi, salah seorang pelajar kami iaitu Muhammad Faris bin Muhayuddin telah menyampaikan lagu bertajuk Perpisahan Tanpa Relamu. Iramanya yang mendayu-dayu mengusik jiwa khalayak yang hadir.
Kepada Puan Pengetua, selamat bersara dan ingat-ingatlah kami di sini. Segala jasa Puan hanya Allah Taala sahaja yang dapat membalasnya.
 Gambar: Puan Hajah Badariah (berbaju hitam) dan Puan Hajah Norlia sedang diarak masuk ke Dewan Seri Pendeta.
 Gambar: Para hadirin sedang mendengar ucapan Puan Hajah Norlia.
 Gambar: Cikgu Noor Azlan sedang mengisi markah peperiksaan akhir tahun ke dalam papan markah sementara menunggu untuk menghadiri majlis sebelah petang.
 Gambar: Menunggu waktu untuk makan. Lokasi meja kami strategik iaitu hampir kepada meja-meja makanan dihidangkan.
 Gambar: Bergambar kenangan.
Gambar: Terima kasih Puan Hajah Norlia.

Pertandingan Boling Warga PPKI SMK Pendeta Za'ba

Tarikh: 29 Oktober 2012 (Rabu)
Masa: 10.00 pagi hingga 2.00 petang
Tempat: Pusat Boling, Pasar Raya AEON Seremban 2

Bagi mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga PPKI SMK Pendeta Za'ba, satu pertandingan boling telah diadakan. Guru-guru dan pembantu-pembantu pengurusan murid telah dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diketuai oleh Cikgu Roslan, Cikgu Azean dan Cikgu Noor Azlan. Untuk murid-murid pula mereka telah dibahagikan kepada  tiga kumpulan yang terdiri daripada murid-murid sahaja.
Pelbagai aksi telah dipamerkan. Ada yang balingan pertama masuk longkang kiri dan balingan kedua masuk longkang kanan pun ada. Provokasi antara kumpulan yang bertanding tidak perlu diceritakan dengan lebih lanjut di sini.
Setelah tamat saingan, kumpulan Cikgu Azean memenangi tempat pertama diikuti oleh kumpulan Cikgu Roslan dan Cikgu Noor Azlan. Sebelum pulang ke sekolah, semua warga PPKI SMK Pendeta Za'ba menikmati hidangan makan tengah hari di Restoren Mc Donald.
 Gambar: Cikgu Lim Pei Kuan sedang melakukan balingan.
 Gambar: Sungguh meriah suasana.
  Gambar: Cikgu Hasmah (kanan sekali) sedang cuba menganggu konsentrasi Cikgu Azean.

Sukaneka di Homestay Rawa

Tarikh: 24 Oktober 2012 (Rabu)
Masa: 7.40 pagi hingga 2.00 petang

Tempat: AS Equestrian @ Homestay Rawa, Lenggeng, Negeri Sembilan.

Pada hari ini warga PPKI SMK Pendeta Za'ba telah mengadakan acara sukaneka di AS Equestrian. Dengan menaiki bas yang disewa khas, syukur tiada warga PPKI yang muntah sepanjang perjalanan sebagaimana ke Cameron Highland suatu ketika dulu. Warga PPKI telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada gabungan murid, guru dan juga PPM. Cikgu Roslan, Cikgu Azean dan Cikgu Noor Azlan pula terkecuali kerana bertindak selaku hakim, juri dan jurufoto.
Pelbagai acara telah diadakan seperti isi air dalam botol, lumba terompah berkumpulan dan bawa gelang getah dengan straw. Johan keseluruhan dalam sukaneka kali ini ialah kumpulan 3. Untuk acara tiup tepung bagi mencari gula-gula pula telah dimenangi oleh Cikgu Roslan.
Setelah menikmati makan tengah hari, guru-guru dan PPM telah dibelanja menunggang kuda oleh Cikgu Roslan. Terima kasih Cikgu Roslan.
 Gambar: Cikgu Maizura (kanan sekali) sedang menyokong kumpulannya.
 Gambar: Cikgu Azean (kiri) dan Cikgu Roslan sedang menunggu peserta-peserta memanaskan badan.
 Gambar: Tahun depan tiada lagi kelibat Afiq Amin kerana dah cukup umur.
 Gambar: Acara minum air dalam baldi sampai habis, ehhh bukan, isi air dalam botol.
 Gambar: Acara dam hajah sedang berlangsung.
 Gambar: Puan Hasmah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
 Gambar: Acara yang tidak memerlukan tunjuk-ajar, acara makan.
 Gambar: Oooooooooooo, kudaku lari gagah berani!
Gambar: Best! Tahun depan kita bermalam pula di sini.

Jamuan Akhir Tahun dan Perpisahan Guru Praktikal dan Pelajar PPKI SMK Pendeta Za'ba

Tarikh: 17 Oktober 2012 (Rabu)
Masa: Sepanjang waktu persekolahan
Tempat: Blok PPKI SMK Pendeta Za'aba

Setelah setahun berpenat-lelah maka penghujung persekolahan kian tiba. Guru-guru praktikal daripada UPSI juga bakal menamatkan latihan pengajaran. Dengan itu pihak kami telah mengadakan satu jamuan. Warga PPKI telah bergotong-royong memasak nasi goreng cina, barbeque sosej, daging ayam dan daging kambing. Majlis ini turut meraikan 'persaraan' beberapa pelajar yang telah cukup had umur persekolahannya iaitu 19 tahun (Agaknya kalau tak ada had umur persaraan adakah mereka akan bersekolah sepanjang hayat di sini?).
Kepada Cikgu Muhaimin, Cikgu Adib dan  Cikgu Haleem terima kasih daripada kami. Sehingga saat blog ini ditulis masih ada murid yang bersedih cikgu-cikgu meninggalkan kami.
 Gambar: Cikgu Siti Norli (kiri) dan Cikgu Wan Azlima memastikan ayam-ayam tidak hangus. Kukus, gril, panggang, kukus, gril, panggang, kukus... ehhh itu Master Chef.
 Gambar: Cikgu Norizan menerima cenderahati daripada Cikgu Muhaimin. Cikgu Muhaimin merupakan guru yang dibimbing oleh Cikgu Norizan. Bagi Nur Zatil Idayu (kanan sekali) ini merupakan tahun akhir dia bersekolah.