Thursday 31 January 2013

Majlis Persaraan Puan Hajah Aziah binti Mohd Yusoff

Tarikh: 31 Januari 2013 (Khamis)
Masa: 7.40 pagi hingga 8.30 pagi dan 2.30 petang hingga 2.50 petang
Tempat: Dataran Perhimpunan SMK Pendeta Za'ba

Pada hari ini SMK Pendeta Za'ba telah kehilangan seorang guru yang banyak berjasa mendidik anak bangsanya dengan penuh tekun iaitu Puan Hajah Aziah binti Mohd Yusoff kerana telah tiba masanya untuk beliau bersara daripada perkhidmatan.

Puan Hajah Aziah binti Mohd Yusoff dilahirkan di negeri Selangor pada 30 April 1957. Setelah menamatkan latihan perguruan, beliau mula berkhidmat di SM Tinggi  Port Dickson pada 16 April 1979.

Berikut merupakan sekolah-sekolah di mana beliau telah menaburkan bakti kemudiannya sebelum bertukar ke SMK Pendeta Za’ba pada 1 Januari 1996.
- SM Raja Lumu (mulai 1 Januari 1985)                 
- SM Dato Mohd Yusof (mulai 1 Janurai   1988)
- SM Bandar Easter (mulai 1 Disember 1989)
- SM Tan Sri Jaafar Albar (mulai 16 Mac 1991)
- SM Tun Habab (mulai  1 Januari 1995)

Beliau merupakan guru mata pelajaran Kemahiran Hidup (Ekonomi Rumah Tangga) di SMK Pendeta Za’ba
Selain itu beliau juga merupakan guru penasihat untuk Kadet Remaja Sekolah dan Kelab Alam Sekitar.




Beliau dikurniakan dua orang putera hasil perkongsian hidup dengan Mohd Dom bin Samian. Kedua-dua orang putera beliau pernah menuntut ilmu di SMK Pendeta Za’ba.

Sepanjang 16 tahun di SMK Pendeta Za’ba pelbagai kenangan manis dilalui bersama rakan-rakan seperjuangan. Kenangan yang paling menggembirakan ialah membawa  pelajar menyertai pertandingan tarian sehingga ke peringkat kebangsaan pada tahun 2000.

Kenangan yang menyedihkan dalam hidup beliau ialah kehilangan anak sulung pada tahun 2000 dan menjalani pembedahan jantung pada tahun 2001. 

Dalam majlis yang dipengerusikan oleh Puan Sakhliza binti Haji Khalid pada pagi tersebut, Ustaz Nor Sharulazmi b Mohamad telah membacakan doa pembuka majlis. Tuan Pengetua iaitu Tuan Haji Rosdin bin Kasim kemudian telah menyampaikan ucapan terima kasih daripada pihak sekolah kepada Puan Hajah Aziah binti Mohd Yusoff  atas perkhidmatan beliau yang sangat cemerlang.

Puan Hajah Aziah dalam ucapannya pula telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini dan turut mendoakan kejayaan anak-anak didik yang bakal beliau tinggalkan. Ucapan beliau walaupun sangat ringkas tetapi padat dengan nasihat kepada semua.

 Gambar: Perhimpunan terakhir untuk meraikan Puan Hajah Aziah.

 Gambar: Barisan pentadbir bersama Puan Hajah Aziah.

 Gambar: Tuan Pengetua sedang berucap.

 Gambar: Tuan Pengetua (kanan) menyampaikan cenderahati daripada pihak pengurusan.

 Gambar: Puan Hasmah binti Abu Bakar menyampaikan cenderahati daripada warga PPKI SMK Pendeta Za'ba.

Gambar: Amanat terakhir daripada Puan Hajah Aziah.

Pada 2.30 petang pula warga sekolah berkumpul di dataran perhimpunan untuk memberikan lambaian terakhir kepada beliau. Terima kasih Puan Hajah Aziah!

Gambar: Puan Hajah Aziah bersalaman dengan pelajar-pelajar.

Gambar: Puan Hajah Aziah memotong riben merasmikan tanda beliau meninggalkan sekolah.
 
Gambar: Selamat tinggal SMK Pendeta Za'ba.













Mesyuarat Pengurusan Pertama Pihak Pengurusan Bersama Guru-guru PPKI SMK Pendeta Za'ba

Tarikh: 30 Januari 2013 (Rabu)
Masa: 3.15 petang hingga 4.45 petang
Tempat: Bilik Wawasan SMK Pendeta Za'ba

Pada petang ini telah berlangsung mesyuarat pihak pengurusan bersama dengan guru-guru kami. Tuan Pengetua Cemerlang SMK Pendeta Za'ba, Tuan Haji Rosdin bin Kasim telah mempengerusikan mesyuarat tersebut yang mana ia lebih merupakan sesi pengenalan di antara kami dan Tuan Pengetua.
Dalam mesyuarat tersebut Tuan Pengetua telah menekankan konsep telus dan seia sekata di kalangan guru-guru. Beliau turut mendengar isu-isu pendidikan khas yang diutarakan oleh guru-guru.
Terima kasih di atas pesanan-pesanan yang disampaikan dan juga tajaan jamuan oleh pihak Tuan.

 Gambar: Tuan Pengetua sedang berucap.

 Gambar: Guru-guru tekun mendengar ucapan Tuan Pengetua.

Wednesday 16 January 2013

Penyampaian bantuan persekolahan RM100



Tarikh: 15 Januari 2013 (Selasa)
Masa: 2.30 petang hingga 4.00 petang
Tempat: SMK Pendeta Za’ba

Pada petang ini jalan-jalan menuju ke SMK Pendeta Za’ba sesak sekali. Ada yang meletak kereta mereka di bahu jalan kerana tak sanggup lagi menunggu dan sanggup berjalan kaki ke SMK Pendeta Za’ba. Kalau lambat nanti takut duit habis. Mana boleh habis, tak cukup tambah dengan duit SUWA/PIBG dulu.

Saya yang kebetulan keluar sebentar untuk makan pun terpaksa parkir kereta di bahu jalan kawasan perumahan berhampiran SK Taman Paroi Jaya dan berjalan kaki ke sekolah. Kebetulan ada seorang pakcik yang berjalan bersama saya untuk ke sekolah. Nak ambil duit bantuan persekolahan anak katanya.

“Anak saya ada dua orang. Seorang tingkatan empat dan seorang tingkatan satu,” katanya. “Ooo, baguslah macam tu pakcik, tapi kalau hari ni pakcik sibuk esok pun boleh ambik lagi,” balas saya. “Tak apa, kebetulan hari ni nak ambil dia orang balik sekolah,” katanya lagi.

“Jadi pakcik tau la kelas anak pakcik yang tingkatan satu tu kat mana?” soal saya kepadanya. “Tak tau la pulak pakcik kat mana kelasnya,” jawabnya. “Ehhh, hari tu masa pendaftaran tingkatan satu pakcik tak datang ka?” tanya saya lagi. Dia termenung sebentar kemudian menjawab, “Oh, silap. Anak pakcik yang kecik tu dah tingkatan dua la cikgu.” “Tak apalah pakcik, nanti sampai kat Blok A nanti kelasnya ada dekat-dekat situ. Saya nak ke blok pendidikan khas ye,” ujar saya yang menuju ke Blok PPKI. Hemmm, anak dah sekolah tingkatan berapa pun tak ingat, yang dia tau hari ni dua orang, dua ratus ringgit.

Secara formalnya pada hari ini telah berlangsung Program Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 di SMK Pendeta Za’ba. Yang DiPertua PIBG SMK Pendeta Za’ba iaitu Encik Madun bin Mislan dan Tuan Pengetua telah menyampaikan ucapan perasmian program di Dewan Seri Pendeta pada jam 2.30 petang. Selesai ucapan, penjaga-penjaga telah menuju ke kelas anak-anak mereka untuk menerima bantuan yang disampaikan oleh guru-guru kelas.

Terdapat juga minum petang disediakan oleh pihak sekolah pada petang tersebut. Makanan sungguh mewah sehingga ada yang membungkus untuk orang-orang di rumah merasanya.

Tentang murid-murid pendidikan khas, penyampaian bantuan telah dikendalikan oleh GPK Khas iaitu Puan Hasmah dan dibantu oleh Puan Siti Khairanah. Dalam ramai-ramai yang datang menerima bantuan, penjaga yang anaknya dah berbulan-bulan tak datang sekolah pun sanggup menebalkan muka datang untuk menerima bantuan. Siapa termakan cili dialah yang akan terasa pedas.

 Gambar: Kesesakkan lalu-lintas.

 Gambar: Puan Siti Khairanah sedang melayan seorang klien.

Latihan merentas desa bermula



Tarikh: 15 Januari 2013 (Selasa)
Masa: 7.40 petang hingga 9.00 pagi
Tempat: SMK Pendeta Za’ba

Pada pagi ini warga PPKI SMK Pendeta Za’ba telah beramai-ramai berjalan bersama-sama untuk melihat laluan merentas desa bagi kategori PPKI semasa acara merentas desa sekolah nanti. Diketuai oleh GPK Khas iaitu Puan Hasmah di depan sekali diikuti oleh murid-murid dan guru-guru di belakang beliau, laluan murid PPKI sepanjang hampir tiga kilometer akan bermula di sekolah. Latihan pada hari ini telah dibantu oleh dua anggota RELA yang mengawasi lalu-lintas dengan bayaran saguhati RM20 setiap seorang.

Murid-murid akan menuju ke arah Stadium Paroi sebelum membelok ke kanan di Masjid Taman Paroi Jaya. Kemudian mereka akan terus berlari melalui hadapan blok rumah kedai yang ada Restoren Leha World (kalau makan kat sini air boleh tambah free, minum la satu jag pun) sebelum belok lagi ke kanan di Surau Kariah Taman Paroi Jaya.

Di laluan yang terakhir ini, mereka akan melalui hadapan SK Taman Paroi Jaya sebelum belok ke kiri menuju ke garisan penamat di pintu gerbang SMK Pendeta Za’ba.
 
Acara merentas desa yang dijadualkan pada hari Khamis, 17 Januari 2013 telah ditunda ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak oleh pihak sekolah. Jadi sehingga hari itu tiba, bagi ahli-ahli rumah (murid-murid normal) Merah, Kuning, Hijau dan Biru teruslah berlari bagi membina stamina anda.


Selamat datang kepada Tuan Haji Rosdin bin Kasim

Gambar: Tuan Haji Rosdin bin Kasim (tengah).

PPKI SMK Pendeta Za’ba ingin mengalu-alukan kedatangan pengetua baru ke SMK Pendeta Za’ba iaitu Tuan Haji Rosdin bin Kasim yang menggantikan Puan Hajah Norlia binti Karim yang bersara wajib pada tahun lepas. Tuan Haji Rosdin sebelum ini berkhidmat di SMK Simpang Gelami.

Semoga kedatangan beliau ke sekolah ini akan terus memangkin kegemilangan SMK Pendeta Za’ba.

Saturday 5 January 2013

Kembara Geng Bermula... errr, Sesi Persekolahan 2013 Bermula

Alhamdulillah, bersyukur kita kerana tahun ini kita buka sekolah seperti yang sepatutnya iaitu Rabu, 2 Januari 2013. Mungkin kita merungut sedikit dengan kelas yang makin padat antara 8 hingga 9 murid tetapi nasib PPKI SMKPZ jauh lebih baik daripada sebilangan program lain yang terpaksa memuatkan berpuluh-puluh murid dalam sebuah kelas. Syukur juga kita tidak dilanda banjir seperti beberapa buah sekolah di pantai timur yang masih belum memulakan sesi persekolahan hingga ke hari ini.

Bagi melancarkan sesi persekolahan pada tahun ini, pada minggu pertama persekolahan pihak PPKI SMKPZ telah melaksanakan program seperti yang berikut:
Rabu 2 Januari - Pendaftaran murid lama dan baru.
Khamis 3 Januari - Ujian diagnostik Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan lain-lain.
Jumaat 4 Januari - Sesi suai kenal murid lama dan baru, pengagihan kelas dan orientasi & mobiliti. 

Setakat Jumaat, 4 Januari 2013 jumlah murid ialah 56 orang iaitu termasuk 13 murid baru yang mendaftar. Dikatakan bahawa sepatutnya 20 atau lebih murid baru mendaftar tetapi kami masih menunggu mereka untuk mendaftar. Dengan hanya tujuh kelas, pada tahun ini pihak pengurusan berazam untuk menjadi lebih tegas mengikut prosedur bagi memberhentikan murid-murid yang kerap ponteng.

Jumlah guru ialah 11 orang dan jumlah pembantu pengurusan murid ialah 4 orang.Setakat ini kami masih menunggu pengganti kepada Encik Roslan yang dinaikkan pangkat menjadi GPK. Penyelesaian kekurangan guru pada ketika ini ialah mengagihkan masa mengajar yang lebih kepada semua guru.

Moga-moga segala kekurangan akan menjadi motivasi untuk kita berusaha dengan lebih gigih demi untuk anak-anak didik kita.

 Gambar: Aktiviti NILAM akan menjadi salah satu agenda utama tahun ini.

 Gambar: Encik Azean mengendalikan sesi suai kenal.

 Gambar: Murid-murid mendengar taklimat Encik Azean.

    Gambar: Murid-murid dibawa mengelilingi kawasan-kawasan di dalam sekolah.