Thursday 15 October 2015

Mesyuarat PPKI SMKPZ 4/2015

Tarikh: 15 Oktober 2015 (Khamis)
Masa: 1.20 petang hingga 2.40 petang
Tempat: Kelas PPKI 6

Pada hari ini telah diadakan Mesyuarat PPKI SMKPZ untuk kali keempat. Mesyuarat pada kali ini telah dipengerusikan oleh Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Hasmah binti Abu Bakar. Alhamdulillah, semua guru dan pembantu pengurusan murid telah dapat menghadiri mesyuarat yang diadakan pada kali ini.
Antara agenda dalam mesyuarat pada kali ini ialah laporan daripada bahagian kurikulum, HEM dan ko-kurikulum. Turut dibincangkan ialah jamuan akhir tahun yang bakal diadakan di Kelab Diraja Sungei Ujong serta Karnival Pendidikan Khas Peringkat PPKI SMKPZ pada bulan November nanti.
Puan Hasmah turut mengingatkan guru-guru agar segera menyelesaikan tugasan-tugasan menjelang tamatnya sesi persekolahan 2015.

 Alif Ya Mim, ayam!

Puan Sharul Afizah dan Puam Lim Pei Kuan.

Program Sahsiah Diri Dan Pengurusan Kehidupan PPKI SMKPZ 2015

Tarikh: 15 Oktober 2015 (Khamis)
Masa: 8.20 pagi hingga 1.20 petang
Tempat: Blok PPKI SMKPZ

Kita hanya mampu merancang tetapi Allah jualah Yang Maha Menentukan. Program di atas pada asalnya menjemput Pencetus Ummah Izzat Fathi bin Hisham sebagai penceramah jemputan tetapi terpaksa diubahsuai pada saat-saat akhir kerana ahli keluarga penceramah telah jatuh sakit.
Maka, bagi meneruskan program ini,  Ustaz Mohd Abdullah bin Muhammad Yusof telah menjadi penceramah bidang bidan terjun (macam bulan puasa tempoh hari). Dalam masa setengah jam sahaja beliau telah mengumpul bahan-bahan seperti klip-klip video untuk ceramah beliau yang didasari hal-hal berkaitan sifat-sifat anak soleh, pengamalan nilai-nilai murni dan sifat-sifat anak derhaka yang perlu dihindari murid-murid PPKI SMKPZ di hari-hari mendatang.
Saksikan rakaman foto-foto ceramah beliau yang berjaya menyentuh jiwa anak-anak istimewa PPKI SMKPZ.

 Siapa tak mandi pagi sila angkat tangan. Wah, ramainya yang tak mandi pagi.

 Tekun mendengar ceramah.

 Jadi malam tadi kamu tidur pukul berapa Fitri?

 Tengok video ni, betapa sayangnya pemuda tu kepada ibunya hingga sanggup memikulnya ibunya ke mana-mana.

 Semoga cepatlah Cikgu Mohd dikurniakan zuriat. Amin Ya Rabbal Alamin!

 Cuba bilang ada berapa buah Toyota Vellfire yang parking kat sebelah tu. Ada lima Cikgu Mohd. Sah tak kenal kereta.

 Mari la makan Cikgu Lan. Saya tunggu kari kambing la Kak Hasmah.

 Perbezaan antara OKU sikit dan OKU banyak. OKU sikit yang menangis kat depan tu, faham tentang dosa dan pahala. OKU banyak yang ketawa kat belakang tu, buka la cerita sedih macam mana pun, tak ada sebarang kesan di hati.

 Munirah menangis keinsafan.

 Cikgu Wan membahagikan murid-murid kepada kumpulan-kumpulan kecil.

 Amir (tengah) dan ahli-ahli kumpulannya dalam sesi LDK.

 Fitri (kiri) dan ahli-ahli kumpulannya dalam sesi LDK.

 Adib (kanan) dan ahli-ahli kumpulannya membuat pembentangan.

 Khusairy (kiri) dan ahli-ahli kumpulannya membuat pembentangan.

Najmie (kiri) dan ahli-ahli kumpulannya membuat pembentangan.

Bulat, bulat, bulat, bulat, bulat...

Tarikh: 12 Oktober 2015 (Selasa)
Masa: 7.40 pagi hingga 9.00 pagi
Tempat: Blok PPKI SMKPZ

Selalunya waktu PJK kita bermain bola sepak, petanque, badminton, permainan dalaman tetapi hari ini Cikgu Azean dan Cikgu Azlan mengambil keputusan untuk mengajar bahagian Kesihatan di hujung-hujung tahun sebegini. Nak guna padang pun tak boleh sebenarnya kerana PT3 sedang berlangsung di Dewan Seri Pendeta di sebelah padang tu.
Maka PdP hari ini terdiri daripada tiga aktiviti, pertamanya demonstrasi memberus gigi oleh Cikgu Azean diikuti dengan amali menggosok gigi oleh setiap murid. 30 minit terakhir pula diisi dengan menonton tayangan animasi Upin Ipin bertajuk Gosok Jangan Tak Gosok yang berkaitan dengan memberus gigi.

 Kasut sukan dah pakai.

 Name tag dah pakai.

 Jadi cikgu nak tengok gigi korang hari ni, sapa yang warna kuning kita berus banyak-banyak kali.

 Berdebar-debar menunggu giliran menggosok gigi. Nak gosok gigi pun takut?

 Satihyasellon nampak lebih putih setelah menggosok giginya. Errr, kat bahagian gigi la.

 Syahmi memberus gigi dengan bersemangat.

 Ariff (depan) menunjukkan berus giginya kepada saya.

 Menonton animasi Upin dan Ipin.

Hari Sukan Negara Peringkat SMKPZ

Tarikh: 10 Oktober 2015 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Tempat: SMK Pendeta Za'ba

Kalau Hari Sukan Negara dijadikan sebagai hari persekolahan ganti seperti pada awal perancangannya mungkin kehadiran semua warga sekolah akan lebih membanggakan. Tahniah diucapkan kepada Ariff dan Aisyah iaitu dua murid PPKI SMKPZ yang telah dihantar oleh penjaga masing-masing untuk memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat SMKPZ pada hari ini.
Berkaitan sambutan pada hari ini, bermula pada awal pagi lagi warga SMKPZ telah melakukan senaman aerobik di dataran perhimpunan. Tamat senaman aerobik, warga SMKPZ telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan aktivti permainan bola sepak dan bola jaring. Untuk warga PPKI pula, pada awalnya saya ingin mengadakan aktiviti permainan petanque tetapi memandangkan murid yang ada hanyalah Ariff dan Aisyah dan juga cuaca yang sedikit berjerebu maka mereka berdua diarahkan untuk bermain di dalam Bilik Kelas PPKI 6 sahaja iaitu bermain lego.
Semoga tahun depan kita dapat mengadakan pengisian yang lebih bermakna di samping berdoa agar cuaca tidak lagi berjerubu.

 Oppa Gangnam Style! Nyanyi Ariff.

 Senaman aerobik bermula dengan regangan.

 Semua memakai topeng muka.

 Seronok pula dengar lagu-lagu yang menjadi muzik latar.

 Cikgu tak mau main lego dengan kami ka?

 Permainan bola sepak di padang.

 Permainan bola jaring di dataran perhimpunan.

Majlis Hari Anugerah Ko-Kurikulum & HEM Terbilang 2015

Tarikh: 07 Oktober 2015 (Rabu)
Masa: 10.00 pagi hingga 1.20 petang
Tempat: Dewan Seri Pendeta

Bagi mengiktiraf pencapaian pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Pendeta Za'ba dalam bidang ko-kurikulum dan hal-ehwal murid, majlis di atas telah diadakan dalam kegusaran jerebu yang melanda pada ketika itu.
Tahniah diucapkan kepada Mohd Akif bin Sahmsul Baharin yang telah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Ko-Kurikulum Kategori Pelajar Pendidikan Khas untuk tahun ini. Beliau telah mengharumkan nama SMKPZ dengan mewakili Negeri Sembilan untuk acara tilawah Al-Quran dan hafazan di Majlis Tilawah Tiada hadiah untuk kategori perempuan, mungkin pada tahun hadapan.
Tatapi rakaman yang sempat saya rakam dari kejauhan.

 Pengetua Cemerlang SMK Pendeta Za'ba, Puan Hajah Hamidah binti Burok sedang menyampaikan ucapan perasmian majlis.

 Mengikuti majlis dengan penuh minat.

 Persembahan tarian oleh Kelab Kebudayaan SMKPZ.

 Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Hasmah binti Abu Bakar turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Thursday 1 October 2015

Perjumpaan Tiga Penjuru SMKPZ

Tarikh: 2 Oktober 2015 (Jumaat)
Masa: 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Tempat: Kelas masing-masing

Pada hari ini telah diadakan perjumpaan tiga penjuru untuk perbincangan pencapaian akademik dan hal-hal lain berkaitan pelajar-pelajar SMKPZ. Perbincangan perihal akademik pada kali ini didasarkan kepada pencapaian Ujian Selaras Dua yang lalu. Selain itu penjaga-penjaga juga turut membincangkan perihal disiplin anak-anak mereka serta hal-hal yang lain.
Moga-moga program sebegini dapat membantu membina perkembangan anak-anak istimewa kami secara positif.

 Encik Zailani sedang membincangkan perihal Megat bersama Puan Wan Azlima.

 Ariff (kiri) sibuk mengajak ibunya pulang.

Puan Lim menerangkan pencapaian akademik Anas kepada ibunya.