Wednesday, 4 February 2015

Latihan Acara Merentas Desa

Tarikh: 4 Februari 2015 (Rabu)
Masa: 7.40 pagi
Tempat: Sekitar Taman Paroi Jaya

Masa zaman persekolahan saya dahulu iaitu sekitar tahun 1990an, acara merentas desa yang saya sertai merupakan betul-betul acara merentas desa. Saya masih ingat lagi semasa bersekolah di SMK Tunku Putera, Baling di mana trek latihan merentas desa melalui jalan kawasan kampung yang tidak berturap. Boleh melihat khinzir yang diternak oleh masyarakat Siam di bawah rumah mereka. Di tepi trek juga ada sungai yang boleh kita mandi-manda dulu (kalau berani) sebelum meneruskan larian.
Semasa belajar di MRSM Taiping pula, trek merentas desa adalah Taman Tasik Taiping itu sendiri. Masih ingat lagi ada seorang rakan saya yang memulakan larian bersama-sama dengan budak-budak junior tingkatan empat dan menang pula tu kerana tak ada siapa yang dapat membuktikan penipuannya pada hari tersebut. Alah, bukan boleh jual pun medal besi tu kat kedai emas kan?
Jadi acara merentas desa pada tahun ini akan diadakan pada jam 3.00 petang 5 Februari 2015 (Khamis). Pada tahun ini 20 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan telah dipilih untuk bertanding dalam kategori pendidikan khas. Saksikan rakaman latihan trek yang telah diadakan pada hari ini.

Idham memimpin sesi memanaskan badan.

Pelajar-pelajar memanaskan badan.

Cikgu Siti Khairanah mengikut dengan kereta.

Cikgu Azean menjadi peronda,

Dalam masa 15 minit boleh tamat larian.

Masuk ke Lorong Kedidi 2.

Cikgu Siti Khairanah menjaga di satu persimpangan.

Berehat seketika sebelum masuk ke kelas masing-masing.

Solat Hajat dan Bacaan Yassin

Tarikh: 30 Januari 2015 (Jumaat)
Masa: 7.30 pagi
Tempat: Dewan Seri Pendeta

Mulai pada tahun ini, pada setiap hari Jumaat terakhir pada sesuatu bulan, SMKPZ akan mengadakan majlis solat hajat dan bacaan Yassin. Program sebegini mampu memupuk rohani para pelajar agar taat kepada ajaran agama dan memotivasikan diri sendiri.

Pelajar-pelajar PPKI mengambil tempat.

Cikgu Mohd Abdullah (depan kanan) membantu menyusun pelajar.

Razib bersedia untuk membaca Yassin.

Nazilah menangis kerana kehilangan kasut. Kasutnya dijumpai beberapa ketika kemudian.

Tuesday, 3 February 2015

Ceramah Pemantapan Disiplin

Tarikh: 21 Januari 2015 (Khamis)
Masa: 7.30 pagi hingga 8.30 pagi
Tempat: Dewan Seri Pendeta

Pada hari ini pelajar-pelajar SMK Pendeta Za'ba telah mengikuti Ceramah Pemantapan Disiplin yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Tamyes bin Saimun, Guru Besar Cemerlang, SK King George V, Seremban.
Ceramah yang beliau sampaikan sangat padat dengan informasi terkini selain mengandungi pelbagai perkongsian kes-kes disiplin yang pernah beliau tangani.

 Encik Mohd Tamyes sedang menyampaikan ceramah.

Terpancar wajah ketakutan melihat video hukuman sebat dilaksanakan.

Monday, 26 January 2015

Pemeriksaan Gigi

Tarikh: 27 Januari 2015 (Selasa)
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Bilik Kesihatan SMKPZ

Pada hari ini murid-murid PPKI SMKPZ telah menjalani pemeriksaan gigi yang dijalankan oleh sepasukan doktor dan jururawat daripada Klinik Kesihatan Ampangan. Selain menjalani pemeriksaan gigi, murid-murid juga turut diberi nasihat akan amalan-amalan berguna untuk menjaga kesihatan oral. Terima kasih kepada doktor-doktor dan jururawat-jururawat yang prihatin akan kesihatan gigi murid-murid kami.

Muka-muka konfiden dan tak takut doktor gigi.

Siap buat tanda peace lagi sebelum masuk Bilik Kesihatan.

Nur Iman (kiri) dan rakan-rakan memegang kad rekod pergigian.

Ni semua gigi dah berlubang ni. Semua doktor akan cabut dan nanti pakai gigi palsu ya.

Saturday, 17 January 2015

LDP 1/2015 Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke 21

Tarikh: 17 Januari 2015 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Tempat: Dewan Seri Pendeta, SMKPZ

Pada pagi ini, setelah makan lutung... oppp salah tu, lontong, cucur badak, kuih koci dan teh o masjid di kantin sekolah, warga guru SMKPZ telah mengikuti LDP 1/2015 yang bertajuk Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke 21.
Penceramah jemputan pada pagi ini ialah Encik Norhisham bin Haji Omar, Ketua Bidang Unit ICT dan Perkomputeran, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Dalam ceramahnya, beliau telah berkongsi idea-idea baru berkaitan pengajaran dan pengajaran. Antaranya ialah penggunaan Google Sites dan smart board.
Terima kasih kepada Encik Norhisham di atas kesudian beliau untuk berkongsi ilmu dengan kami.

Yang ini lutung.

Yang ini lontong.

Encik Norhisham sedang menyampaikan ceramah.

Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan

Tarikh: 15 Januari 2015 (Khamis)
Masa: 1.00 petang
Tempat: Blok PPKI SMKPZ

Pada hari ini, PPKI SMKPZ telah mengadakan satu majlis perpisahan yang ringkas untuk salah seorang warganya iaitu Mohd Firdaus bin Abdullah. Beliau terpaksa meninggalkan SMKPZ kerana melanjutkan pelajaran di Kolej Yayasan Melaka. Difahamkan beliau akan mengikuti Kursus Sijil Kemahiran Malaysia Pendawaian Elektrik di bawah Program Buying Seats Pendidikan Khas.
Mohd Firdaus telah 'turun' daripada arus perdana pada tahun 2013. Sepanjang di PPKI beliau telah banyak menunjukkan perubahan positif sama ada daripada aspek disiplin atau pun akademik. Beliau banyak membantu guru-guru dan mesra dengan rakan-rakan.
Mohd Firdaus juga aktif mewakili sekolah dalam pelbagai acara sukan pendidikan khas. Antaranya ialah pertandingan boling, azan dan futsal. Kepada Mohd Firdaus, selamat maju jaya.
Saksikan rakaman majlis perpisahan tersebut.

Mohd Firdaus menyampaikan ucapan perpisahan.

Anas hampir menangis semasa menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Mohd Firdaus.

Menerima cenderamata daripada Puan Hasmah.

Puan Nor Wahidah turut menyampaikan cenderamata.

Bersalam-salaman dengan rakan-rakan buat kali terakhir.

One Stop Shoppe 'diterjah' murid PPKI

Tarikh: 15 Januari 2015 (Khamis)
Masa: 12.00 tengah hari
Tempat: One Stop Shoppe

Semasa menjalankan aktiviti orientasi persekitaran sekolah, salah satu persinggahan baru tahun ini ialah One Stop Shoppe yang baru dibuka pada awal tahun ini di belakang astaka sekolah.

Lokasi One Stop Shoppe sebelum ini pernah menjalankan beberapa fungsi. Antara yang saya ingat ialah beberapa guru menjadikan tempat tersebut sebagai kelas, pondok bacaan (ada beberapa kali saya meminjam buku-buku Reader Digest yang ada di rak-rak buku di situ), tempat makan murid waktu rehat (walaupun ada tanda larangan Dilarang Makan ditampal di pintu masuknya) dan paling saya tak boleh lupa ialah tempat persediaan satu pasukan beruniform (dah lupa pula sekolah mana) dalam pertandingan kawad kaki yang yang dijalankan pada tahun 2013. Mana tak boleh lupanya, semua botol-botol, sampah-sarap ditinggalkan di tempat tersebut sayalah yang kena kemas kerana menjadi ajk kebersihan. Ha, ha, ha! Jadi cikgu ni apa yang tak kena buat?

Semoga One Stop Shoppe akan terus maju dan mendapat sokongan warga sekolah. Oh ya, saksikan rakaman 'terjahan' murid-murid PPKI pada hari tersebut.

One Stop Shoppe.

Puan Nor Wahidah (kiri) menyambut ketibaan murid-murid PPKI.

Puan Siti Khairanah mengawal disiplin murid-murid yang masuk membeli.

Murid-murid teruja memilih barangan untuk dibeli.

Sudut pandangan yang lain.

Semua bayar pakai duit not RM100, duit bantuan RM100 yang baru dapat hari Selasa baru-baru ini.