Tuesday, 28 August 2012

Jamuan Hari Raya Aidilfitri


Tarikh: 29 Ogos 2012 (Rabu)
Masa: 12.30 tengah hari hingga 2.40 petang
Tempat: Blok PPKI SMK Pendeta Za’aba

Pada  hari ini setelah tamat aktiviti permainan boling, pada waktu ko-kurikulum untuk murid PPKI, kami telah mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri. Sebilangan warga PPKI yang tinggal di sekolah pada waktu permainan boling telah bergotong-royong menyediakan bihun sup.

Pada waktu jamuan, di samping menikmati bihun sup, warga PPKI turut menikmati kuih-muih raya yang disumbangkan warga PPKI sendiri dan juga buah tembikai. Semoga majlis sebegini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.






Sekitar Persiapan Warga PPKI Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan


Tahun ini merupakan tahun ke-55 negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan. Warga PPKI turut bersemangat untuk memeriahkannya di peringkat sekolah. Kami telah menghias persekitaran blok dengan menggantung Jalur Gemilang yang dibuat sendiri oleh warga PPKI.
 
Kami juga mengitar semula cawan-cawan polisterine untuk membentuk perkataan “55 Merdeka” dan “1 Malaysia” di pagar blok. Murid-murid juga turut berlatih nyanyian koir lagu “1 Malaysia” dan “Saya Anak Malaysia” untuk dipersembahkan pada majlis penutup sambutan bulan kemerdekaan di pertengahan bulan September nanti.






Elaun Murid OKU Dah Masuk


Pihak sekolah ingin memaklumkan bahawa elaun murid oku telah pun dibank in oleh pihak kerajaan pada 15 Ogos 2012 yang lalu. Segala urusan pengambilan buku bank untuk tujuan pengeluaran oleh penjaga hendaklah berurusan terus dengan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Hasmah bt Abu Bakar.

Sesi Bermaaf-maafan Sempena Menyambut Hari Raya Aidilfitri


Tarikh: 15 Ogos 2012 (Rabu)
Masa: 12.30 tengah hari hingga 1.20 petang
Tempat: Blok PPKI SMK Pendeta Za’aba

Pada  hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan penggal kedua persekolahan, sesi di atas telah diadakan di Blok PPKI. Murid-murid juga diturut diberi duit raya oleh guru-guru dan pembantu-pembantu pengurusan murid.

Kami, warga PPKI SMK Pendeta Za’aba mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua.



Tuesday, 24 July 2012

Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Sekolah dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat SMK Pendeta Za’ba


Tarikh: 24 Julai 2012 (Selasa)
Masa: 7.40 pagi hingga 10.00 pagi
Tempat: Dewan Seri Pendeta


Kemerdekaan negara kita yang tahun ini mencapai 55 tahun harus dihargai semua warganya. Warga PPKI tidak ketinggalan bersama-sama menyertai program di atas. Program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia melalui Radio Televisyen Malaysia Negeri Sembilan (Negeri FM) ini dirasmikan oleh Encik Mohamad Radzi bin Wahab, Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPN Negeri Sembilan yang mewakili Pengarah JPN Negeri Sembilan.

Antara pengisian program pada hari ini ialah deklamasi puisi oleh pelajar-pelajar SMK Pendeta Za’ba, nyanyian oleh Aweera Mojo, persembahan skesta oleh ikon NegeriFM dan bicara tokoh sejarah oleh Dato’ Andika Norzali bin Ibrahim. Pengisian yang pelbagai menarik perhatian semua yang hadir.
 
Setelah penyampaian cenderamata kepada tetamu VIP yang hadir, majlis diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai lagu Aku Anak Malaysia, Janji Ditepati dan Jalur Gemilang. Diharapkan program sebegini akan diteruskan lagi di masa hadapan bagi memupuk semangat cintakan negara di kalangan warga sekolah.

 Gambar: Perarakan masuk VIP.

 Gambar: Ketua Sektor sedang menyampaikan ucapan perasmian.

 Gambar: Guru-guru sedang menghayati ucapan.

 Gambar: GPK HEM (kanan sekali) sedang menyatakan sesuatu kepada Usaid bin Basit.

 Gambar: Nyanyian Saya Anak Malaysia secara beramai-ramai.

 Gambar: Semua teruja menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.